Glitter Text Generator at TextSpace.net

Sunday 11 November 2012

KATA PENGUAT



KATA PENGUAT

Kata penguat ialah kata yang digunakan untuk menguatkan maksud sesuatu kata adjektif. Kata penguat ini boleh diletakkan di hadapan atau di belakang kata adjektif dalam ayat.

Kata penguat terbahagi kepada tiga jenis seperti yang berikut:-


1. Kata penguat hadapan
2. Kata penguat belakang
3. Kata penguat bebas
 
 





Perhatikan penerangan di bawah ini.

Jenis
Penggunaan dan Contoh
Ayat Contoh

Kata penguat hadapan
Digunakan di hadapan kata adjektif dalam ayat.
Contoh: agak, paling dan terlalu
1. Fikirannya agak buntu apabila 
    memikirkan masalah yang dihadapinya itu.
2. Rumah banglo itu terlalu besar baginya.
Kata penguat belakang
Digunakan di belakang kata adjektif dalam ayat.
Contoh: benar, betul, nian dan sekali
1. Petah nian pelajar itu berpidato.
2. Sukar sekali baginya untuk memahami
    pelajaran yang diajar oleh gurunya itu.
Kata penguat bebas
Boleh diletakkan di hadapan atau di belakang kata adjektif dalam ayat.
Contoh: amat, sangat dan sungguh
1.a) Karangan yang ditulis oleh pelajar itu 
       sangat panjang.
   b) Karangan yang ditulis oleh pelajar itu
        panjang sangat.
2.a) Potongan badan peragawati itu sungguh 
       menarik.
   b) Potongan badan peragawati itu manarik
       sungguh.

·         Dalam penulisan atau binaan ayat, kata penguat hadapan atau kata penguat belakang, kedudukannya tidak boleh diubah.

       Contoh:

                1.a)   Bunyi letupan meriam itu benar kuat. (X)
                   b)   Bunyi letupan meriam itu kuat benar. (√)
                2.a)   Baju yang dipakai oleh adik Salim itu besar terlalu. (X)
                   b)   Baju yang dipakai oleh adik Salim itu terlalu besar. (√)

·         Dalam penulisan atau binaan ayat, kata adjektif hanya boleh menerima satu kata penguat sahaja.

       Contoh:

                   a)   Jalan raya itu terlalu licin sekali terutama selepas hari hujan. (X)
                   b)   Jalan raya itu terlalu licin terutama selepas hari hujan. (√)
                   c)   Jalan raya itu licin sekali terutama selepas hari hujan. (√)

·         Dalam penulisan atau binaan ayat, elakkan daripada melakukan kesalahan penggunaan kata penguat seperti yang berikut:-
       1.   Kesalahan menggunakan kata penguat kepada kata adjektif yang telah sedia berimbuhan ter.

       Contoh:

                   a)   Aliah mendapat markah penulisan yang tertinggi sekali di dalam kelasnya. (X)
                   b)   Aliah mendapat markah penulisan yang tertinggi di dalam kelasnya. (√)
               
        2.   Kesalahan menggunakan dua kata penguat sekali gus bagi kata adjektif dalam ayat.
       Contoh:
   a)   Pameran lukisan itu mendapat sambutan yang agak menggalakkan betul daripada orang
         ramai. (X)
   b)   Pameran lukisan itu mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada orang
         ramai. (√)
   c)   Pameran lukisan itu mendapat sambutan yang menggalakkan betul daripada orang
         ramai. (√)

No comments:

Post a Comment